Jom faham isu pendengaran si anak. 

Posted in Uncategorized on Ogos 19, 2017 by rubyatika

Apa yang telinga dengar? Jika anak dengar ibubapa cakap arab, maka anaknya akan bercakap arab. Jika anak dengar ibubapanya cakap inggeris, anaknya akan cakap inggeris. 
Jika anak ada isu keperluan khas, memorinya singkat, maka dia dengar yang dia faham saja, terutama yang hujung saja. Kosa kata tak banyak, jadi dia ambil mana yang dia tahu saja. Itu pun tak semestinya dia boleh sebut perkataan yang dia tahu. 

Contoh: Saya suka tengok cerita cina kungfu. Selalu tengok. Jadi ada perkataan yang saya tahu, tanpa membaca sarikata BM. Tapi tak bermakna saya boleh pula cakap mandarin. Kalau saya cuba nak sebut pun, bunyinya pelik dan pelat. 

Ada anak keperluan khas yang mempunyai ciri autisme. Suka dengan dunia sendiri dan tak kisah hal lain di dunia ni. Maka, apa yang dia dengar? Ujian pendengaran, normal.

Maka dia pilih apa yang dia nak dengar. Yang kena dengan pilihan dunianya saja dia nak dengar. Jika dia suka lagu, maka yang lagu-lagu saja dia ingat. Jika dia suka haiwan / kenderaan maka dia hafal semuanya. Jika dia suka ultraman, segala nenek moyang ultraman pun dia ingat. 

Contoh: Saya seorang cikgu. Di kedai makan, orang meja sebelah kiri, bercakap pasal hal-hal makanik kereta dengan istilah yang tak tahu apa benda. Orang meja belah kanan pula, bercakap pasal hal gosip pegawai pendidikan daerah berdekatan. Maka…telinga saya akan pilih untuk dengar yang mana agaknya?

Tiba-tiba makanik tersebut bangun, datang ke arah saya, hulur namecard dan ajak saya bersembang….peliknyalah. Saya tak tau nak jawab apa. Cepatlah mamat ni pergi dari sini. 

Cuba tukar jika orang gosip tu yang datang ke meja saya? Hahahaha…..

Maka….anda pernah tak alami situasi apabila anda datang nak main dengan anak, dia cabut lari? Ha….itulah kisahnya. 

Semakin anda memahami isu persepsi pendengaran ini, anda akan lebih berhati-hati dengan apa yang anda nak sebut di depan anak. Anda akan fikir dulu, bagaimana untuk memastikan input yang anda bagi betul-betul masuk ke lingkungan persepsi si anak. 

Boleh faham tak? Saya cuba terangkan dengan bahasa mudah dah ni. 

Orang Setapak, saya akan buat bengkel terapi pertuturan di Danau Kota pada 30/9/2017. Jom daftar, wsap sy 0133109703. 

Melatih budak 2-4 tahun

Posted in Uncategorized on Julai 25, 2017 by rubyatika

Kanak-kanak sangat pantas berkembang. Contohnya, jika semasa umur 2 tahun, dia boleh sebut 50-100 perkataan, tapi pada 2 tahun 2 bulan, perkataannya sudah mencecah 120-150 perkataan.

* Iyyadh kena chicken pox sebelum raya hari tu. 

Dalam tempoh 2 bulan, macam-macam perkembangan berlaku. Dari hanya melompat setempat, dah reti melompat dari kerusi ke bawah. Dari hanya conteng garis-garis, dah reti conteng bulat-bulat. Dari hanya reti tiru sujud, dah reti tiru rukuk, iktidal dan tahiyat. 

Sebab itu lah, saya galakkan ibubapa yang ada anak masalah perkembangan untuk memulakan proses intervansi seawal yang mungkin. Pada umur yang muda, 2-4 tahun, kanak-kanak cepat belajar. Walaupun ada isu keperluan khas, tapi mereka tetap belajar dengan cara tersendiri dengan lebih pantas berbanding apabila umur dah bertambah (7 tahun ke atas). 
Masalah utama apabila mengajar budak usia 2-4 tahun ini ialah dari segi tumpuan dan tingkahlaku. 

Anak masih kecil, tumpuannya terhad dan kerjanya nak main saja. Kemudian dia semakin bijak manipulasi orang dewasa untuk ikut kehendak dia dengan cara tantrum, merajuk dan agresif. 

Maka ramai ibubapa mengaku kalah. Lihat saja betapa ramai ibubapa hantar anak ke kelas tuisyen membaca, padahal bukanlah ibubapa itu tidak tahu membaca. Tapi kerana betapa sukarnya untuk ibubapa ajar sendiri anak dia. Jika dengan cikgu, lebih senang untuk anak mengikut kata. 

Begitu juga dengan terapi pertuturan. Ramai Ibubapa terpaksa hantar anak ke kelas terapi dengan kerap kerana sukar untuk ajar sendiri anak di rumah. 

Sebenarnya tidak mustahil untuk ibubapa menjadi terapis. Sama juga tidak mustahil untuk ibubapa ajar sendiri anak membaca/mengaji. 

Kunci utama ialah bagaimana memahami daya tumpuan anak dan mengawal tingkahlaku anak. 

Jika ibubapa faham, maka tidak ada isu naik panas baran. Sebab ibubapa faham bahawa tumpuannya terhad pada apa yang dia lihat, pegang dan minat saja. 

Untuk mengawal tingkahlaku, ibubapa mesti bersedia dengan target serta ganjarannya. Selalu yang berlaku, ibubapa hanya fikir target. Tapi tidak bersedia dengan sebarang ganjaran. 

Lepas tu, tidak konsisten pula. Hujung minggu saja anda ajak anak belek buku. Memanglah dia tak suka. Tapi cuba kalau hari-hari dia memang kena tengok paling kurang 1 buku. Maka aktiviti itu ditanam sebagai rutin setiap kali selepas makan malam, contohnya. 

Jika kanak-kanak umur 4 tahun ke atas, lebih mudah untuk kita ajak dia tumpu pada apa yang kita mahu. Tapi jika bawah 4 tahun, dia akan tumpu pada yang dia suka. 

Maka ibubapa kena bijak untuk gunakan benda yang dia suka (contohnya koleksi kereta) untuk ajar apa yang anda target (contohnya kata tempat :atas, bawah, depan belakang). 

Kanak-kanak memang kerjanya main saja. Jadi ibubapa kena ajar anak dalam suasana bermain. Tapi bukan main-main saja-saja. Ini yang selalu berlaku. Ibubapa pula terlebih over bermain. Tiada target mengajar. 

Contohnya jika anak suka main susun puzzle (kes autisme), maka ibubapa kena target untuk latih giliran dan eye contact. Ini penting supaya anak faham interaksi 2 hala. 

Contoh lain jika anak suka main masak-masak, maka ibubapa kena set target, apa perkataan yang anda nak ajar dalam aktiviti tersebut? kata kerja : tuang, kacau, masak, buka, tutup, potong, letak. Atau kata sifat : panas, pedas, sedap, masam, manis. 

Saya melatih ibubapa menjadi therapist kepada anak masing-masing. Saya percaya bahawa ibubapa paling memahami anak anda dan paling banyak meluang masa dengan anak. Jadi ibubapalah therapist paling hebat untuk anak masing-masing. 

Jom orang KL, saya buat bengkel terapi pertuturan untuk ibubapa di Danau Kota, Setapak pada 30/9/2017 nanti. Jom kita belajar sama-sama. 

Wsap saya 0133109703 Pn Ruby untuk daftar. 

Siapa ada anak 2 tahun?

Posted in Uncategorized on Mei 19, 2017 by rubyatika

Anak umur 2 tahun mesti boleh cakap sekurang-kurangnya 25-50 perkataan spontan setiap hari. 

Anak 2 tahun suka bermain dengan rakan-rakan. Main kejar-kejar, sorok-sorok, main bola, main anak patung…. Mereka suka main bersama-sama. 

Kalau anda pergi nursery, tengok kelas budak 2 tahun, mereka ketawa dan ada yang pandai mengusik. Ada yang boleh tunjuk simpati kalau lihat kawan menangis. Ada yang pandai mengadu, panggil cikgu dan tunjuk apa yang berlaku. 

Umur 2 tahun memang lasak. Suka berlari laju bila ada di kawasan lapang. Masjid, padang, jalan raya…..kena pantau dekat. Jangan biar dia lari ke tengah jalan. Kalau ada kolam ikan di rumah, memang bahaya. Umur ni lah yang selalu masuk kolam. Dia tak faham erti bahaya lagi. 

Anak 2 tahun memang cekap meniru. Dia tiru apa yang dia lihat. Kalau abangnya kuat menjerit, dia pun nak jerit juga. Kalau dia nampak kakaknya memanjat, dia pun pergi panjat juga. 

Tiru cakap pun pandai. Selalunya dia tak faham pun apa yang dia tiru sebut. Dia ikut saja sebut ikut apa yang dia dengar. Dia berlatih untuk bercakap. Banyak yang pelat. Biasalah tu. 

Anak umur 2 tahun sudah pandai interaksi 2 hala. Dia boleh jawab soalan mudah (nak / tak nak?), (boleh tak?). Dia jawab dengan pelatnya sambil angguk atau geleng kepala. 

Anak 2 tahun yang bagus keyakinannya dan berani, tidak mahu lagi didukung. Dia nak bebas. Jika mahu bermanja, barulah dia minta dukung.

Anak 2 tahun sudah pandai beritahu ibubapa jika dia berak atau kencing. Sama ada dia cakap, atau dia tunjuk isyarat yang dia dah berak. Sebab itulah pada umur ini sudah boleh mula dilatih pergi ke tandas. 

Tapi jika ke tandas, dah nak main air atau main sabun pula. Maka, banyak-banyaklah bersabar wahai ibubapa. 

Ini ialah kanak-kanak biasa. Memang begitulah fitrahnya. Tapi, sebab saya biasa jumpa kanak-kanak 2 tahun yang lewat berbanding umur sebaya, maka keadaannya berbeza. 

1) Tidak bercakap.

2) Hilang perkataan. Dulu boleh sebut abah. Sekarang tak sebut dah. 

3) Respon pada arahan, tidak konsisten. Kalau suruh tunjuk anggota badan, dia tak faham. 

4) Lebih banyak luang masa depan tv, gadget berbanding bermain mainan budak-budak. 

5) Mengamuk, jerit macam kena dera bila kita tutup tv atau ambil gadget. 

Bukan semuanya autisme. Ramai yang sekadar lambat berkembang atau speech delay. Tapi disebabkan pendedahan mengenai autisme makin meluas, ramai pula ibubapa bimbang jika anak mereka ada autisme. 

Tapi ibubapa janganlah pula anggap “nanti dah besar, pandai lah dia macam kawan-kawan.” Ini namanya malas berusaha. Tak nak fikir jalan usaha. Terus berserah saja. Jangan lupa, Allah hanya akan bantu hambaNya yang berusaha. 

Tempoh anak berusia 2 tahun tidak lama. Sekejap saja dia dah 2 tahun 6 bulan. Dalam tempoh 6 bulan, IQ kanak-kanak pantas berkembang. Mula bercakap dalam ayat 3 patah perkataan. 

Carilah ilmu, banyakkan membaca, pergi tanya doktor, pergi cari therapist, pergi bengkel seminar, pergi google, pergi beli alatan mengajar, simpan segala screen gadget, hantar taska, pergi usaha. 

Intervansi awal adalah usaha terbaik. Progress sedikit demi sedikit adalah jauh lebih berguna dari tak usaha langsung.
Bengkel Terapi Pertuturan untuk Ibubapa

21 Mei 2017, Hotel Dormani, Kuching

wsap 0133109703

Takut nak hantar ke tadika?

Posted in Uncategorized on Mei 2, 2017 by rubyatika

Selalu ibubapa yang anaknya lambat bercakap, rasa ragu-ragu untuk mula hantar anak ke tadika. 

Takut anaknya dibuli. 

Takut anaknya tak tahu mengadu. 

Takut anaknya dibuat cikgu garang.

Takut anaknya lapar, tak tahu minta makan. 

Dan 1001 takut lagilah. 

Kalau ibubapa nak anak progress, anda kena hantar juga ke tadika. Apa yang progress?

– kemahiran sosial

– faham arahan rutin

– interaksi dan bercakap

– tumpuan dan tingkah laku

– urus diri (makan dan ke tandas).

Kalau anda tak mula hantar anak ke tadika, sampai bila pun anak anda statik saja. Di tadika, dia kena ikut aturan di tadika. Dia kena ikut arahan cikgu. Dia tengok rakan-rakan lain buat apa. 

Ramai ibubapa takut sangat kalau anaknya dibuli. Padahal dia tak tau, anaknya itulah yang paling terer di situ. Kalau rebut barang, dia mesti dapat juga walau apa cara sekali pun. 

Untuk mengelak dari risiko-risiko yang tidak diingini, ibubapa mestilah survey tempat dulu. Ambil tahu tentang:
– kuota guru : murid

– pendekatan bermain vs akademik

– pengalaman guru berdepan dengan murid yang lambat bercakap. 

Anda juga boleh berbincang dengan pengusaha jika mereka sudi untuk membenarkan tempoh percubaan untuk anak anda selama seminggu dua. Tengok dan cuba dulu macam mana. Hulurkan bayaran daftar kepada pengusaha. Tidaklah nanti mereka ada rasa berat hati pula untuk mendidik anak anda akibat tidak membayar daftar. 

Seperti yang selalu saya terangkan bahawa, kita boleh tahu anak itu lewat bercakap seawal 2 tahun. Jika dah 2 tahun, masih tak bercakap, maka dia dikira lewat berbanding rakan sebaya. 

Maka, jika anda dapat mengesan anak anda lewat bercakap pada usia 2 tahun, terus hantar dia ke taska / nursery. Biar dia bergaul dengan ramai budak di sana. 

Di rumah pengasuh / tok wan / opah, dia hanya tengok tv saja kerjanya. Maka, hantar dia ke taska. Dia dapat peluang berkawan dan bermain di sana. 

Tak perlu tunggu 4,5 tahun baru nak hantar. Walaupun anda suri rumah. Melainkan jika anda jadi pengasuh dan jaga budak-budak lain di rumah anda. Maka anda boleh kawal penggunaan tv serta mewujudkan suasana interaksi di dalam rumah anda.

Saya harap, tulisan ini membantu ibubapa yang ada anak lambat bercakap untuk CEPAT buat keputusan. Bukannya tunggu Januari 2018. Tapi segera, bulan depan ni, terus pergi daftar. 

Kenapa kena segera? Anda nak anak progress segera atau anda tak kisah untuk dia mula progress tahun depan?

Saya Pn Ruby, Speech Therapist. Saya buat bengkel terapi pertuturan untuk ibubapa belajar cara melatih anak di rumah. 

6 Mei 2017 saya di Bangi

21 Mei 2017 saya di Kuching

wsap saya 0133109703 

Ajar anak membaca dan realiti di Malaysia

Posted in Uncategorized on April 17, 2017 by rubyatika

Realitinya, darjah 1 mesti dah boleh baca. Paling koman, boleh baca CVCV (saya suka baca buku). Tak percaya? Sila tengok buku darjah 1 murid 2017. 

Tak kisahlah apa pun kaedah di Jepun, di Finland atau di Australia. Hakikatnya di Malaysia, buku teks dan buku kerja murid memang begitu. KBAT pun dah ada untuk darjah 1. 

Pada saat pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia (6 tahun ke bawah), nampaknya semakin ke arah naturalistik, tetapi tahap pendidikan aliran sekolah kebangsaan masih di peringkat exam oriented. 

Maka tidak hairanlah apabila banyak tadika yang begitu menekankan aspek pengukukan membaca, menulis, mengira (3M). Bukan yang asas, tetapi pengukuhan. 

Bagaimana murid yang baru mengenal huruf berbanding murid yang sudah lancar membaca apabila melangkah ke darjah 1?

Sudah tentu mana-mana ibubapa tidak mahu anaknya tercungap-cungap di darjah 1, sedangkan murid lain majoritinya sudah lancar. 

Siapalah kita untuk mengubah dasar negara, apatah lagi sistem pendidikan negara. Maka sebagai ibu, kita hanya boleh mengajar anak kita untuk redah saja sistem ini. Tidak kiralah aliran kerajaan atau swasta, sama saja. 

Maka….persoalan seterusnya….adakah mengajar anak membaca pada usia muda, mengganggu psikologi kanak-kanak? Saya ada baca artikel yg viral baru-baru ini tentang isu psikologi ini. 

Sehingga dikatakan murid yg membaca lebih awal ni, tidak meneroka….

Ini terpulang kepada kaedah yang anda guna untuk mengajar anak. Jika anda ajar sambil merotan, mencubit, suara meninggi saja….memanglah kaedah ini menekan psikologi kanak-kanak. 

Tetapi jika anda guna kaedah bermain sambil belajar, maka tiada masalah. Tetapi, adakah semua ibubapa tahu kaedah bermain sambil belajar? Adakah ibubapa tahu menahan sabar untuk mengajar anak membaca sambil dia terjoget sana sini? 

Maka, jika anda seorang yang baran, jangan cuba-cuba untuk ajar anak membaca. Buruk padahnya. 

Secara umumnya, perkembangan bahasa pertuturan kanak-kanak berkembang pesat pada usia 0-4 tahun. Perkembangan ini merangkumi daya kognitif berikut:

– tumpuan, ingatan, kefahaman, kod bunyi bahasa, makna, penghasilan, memori, ingatan pendengaran, padanan dan sebagainya. 

Ini juga adalah asas untuk kanak-kanak belajar membaca. Sama saja kemahiran kognitifnya, cuma ditambah sedikit lagi iaitu:

– persepsi visual dan eye tracking.

Dengan itu kanak-kanak boleh mengkod huruf yang dilihatnya. 

Ramai ibubapa moden yang mengajar anak mengenal huruf sejak bayi. Bayi tu baru pandai duduk, si ibu tunjuk flash cards huruf-huruf. 

Saya tidak kata ianya salah. Anda boleh buat jika itu pilihan anda. 

Tapi saya tidak memilih jalan itu. Saya tidak pilih short-cut. Sebab psikologi kanak-kanak perlukan masa untuk berkembang. Jadi saya ikut jalan jauh. 

Ibaratnya, saya menyiram benih, membajanya dan saya nak pastikan akarnya benar-benar kukuh mencengkam jauh ke dalam tanah. 

Maka pada usia bawah 4 tahun (0- 3tahun 11 bulan), saya tidak memperkenalkan asas 3M kepada anak saya. Jika ada, saya hanya menyanyi atau cakap secara tidak langsung. Tiada buku ABC. Tiada flash cards. Tiada huruf magnet. Tiada puzzle huruf. 

Apabila genap hari lahirnya 4 tahun, barulah saya keluarkan segala bahan mengajar ABC, 123. Pada masa itu, psikologinya telah bersedia. Kita ajar, dia serap macam span. Malah pada 1 sesi pengajaran, tak sampai 10 minit pun. 

Berbalik pada topik asal, saya juga mula mengajar anak membaca pada usia 4 tahun. Saya tidaklah begitu berani untuk mula ajar pada usia 7 tahun. Ya…saya takut. Kerana saya sedar bahawa saya di Malaysia. Saya sedar sistem pendidikan di Malaysia.

Saya tak sanggup memikirkan jika anak tiada asas membaca pada usia 7 tahun….

Saya faham bahawa guru tadika dan pengusaha tadika cuba melakukan yang terbaik demi murid-murid. Saya harap guru-guru tadika juga lebih fleksibel dengan kaedah pengajaran yang digunakan. Janganlah sehingga menekan psikologi kanak-kanak. 

Kenapa saya pilih 4 tahun? Bukan 3 tahun? Bukan 5 tahun?

Sebab pada usia 4 tahun, kemahiran urus diri telah kukuh. Boleh ke tandas, mandi sendiri, pakai baju sendiri, makan sendiri. Maka dia lebih bersedia untuk aktiviti motor halus (pegang pensel untuk menulis). 

Pada usia 4 tahun, anak sudah boleh duduk di meja kerusi dengan lebih bersedia untuk belajar.

Namun, tidak semestinya pada usia 5 tahun, anak sudah lancar membaca. Kita bukannya lumba lari, siapa sampai dulu dia menang. Kita ajar secara santai, kaedah bermain dan konsisten. 

Yang penting pada usia 7 tahun, masuk darjah 1, anak bersedia untuk baca buku teks sekolah tu. Buku-buku Sasbadi yang diberikan pihak sekolah tu. 

Siapa saya untuk bercakap pasal ni?

Saya Pn Ruby, ahli terapis pertuturan bahasa. Sebagai seorang yang ada latar belakang linguistik, psikologi, perkembangan bahasa dan neuropsycholinguistik, saya rasa saya juga boleh bersuara dalam isu ini. 

Oh ya, saya akan ke Kuching pada 

21 Mei 2017 sempena bengkel terapi pertuturan untuk ibubapa. 

wsap saya 0133109703. Jangan call. Saya takkan angkat telefon jika sedang berurusan dgn murid saya. 

Rasional di sebalik sikap anak autisme.

Posted in Uncategorized on Mac 14, 2017 by rubyatika

Anak-anak secara fitrahnya sukakan perhatian ibubapa. 

“Mama, tengok ni” kata si kecil sambil conteng dinding dengan penuh gaya. 

Kalau anak yang belum cecah usia 2 tahun, mereka akan tepuk kita, dan tunjuk apa yang dia nak beritahu. Bagi yang dah bercakap, dia kata “Mama! mama! tu! tu!”

Ini adalah kebiasaan bagi anak-anak yang tiada masalah interaksi 2 hala. 

Bagaimana dengan anak yang tidak berinteraksi?

– buat hal sendiri, dalam dunia sendiri.

Inilah punca utama kenapa anak yang ada ciri autisme, tidak bercakap. Mereka tidak rasa perlu untuk bercakap. Orang lain tak penting. 

Dia hanya rasa perlu apabila nakkan bantuan, maka mulalah dia tarik tangan kita untuk minta tolong. Dia perlukan tangan kita sahaja. Sebab tu dia rasa tak perlu nak pandang muka kita. Tangan kita ni saja yang penting untuk dia dapat apa dia mahu. 

Ada 3 point utama ciri autisme yang saya terangkan di atas:

– dalam dunia sendiri

– tarik tangan

– tiada/kurang eye contact. 

Anak yang tak minat pada perhatian orang dewasa, tak kisah untuk bermain bersama-sama. Orang lain ni tak penting. Maka dia hanya main sendiri, ikut cara dia sahaja. Akibatnya dia tak tahu bahawa permainan ada pelbagai ragam. 

Dia tak tahu bahawa keseronokkan bermain itu akan berganda apabila dikongsi main bersama. Tak faham bahawa jika orang lain seronok, dia juga akan sama-sama seronok. 

Maka terhasillah ciri ke 4 autisme iaitu kurang minat pada permainan. Ada yang boleh bermain, tapi masih cenderung untuk main sendirian. Bagi dia, menyusun panjang-panjang atau pusing roda itu dikira seronok. Maka itulah cara dia bermain. 

Kenapa anak autisme seronok menyusun? Sebab aktiviti ini adalah mudah dijangka. Lepas letak ni, letak yang ni pulak. Letak lagi…lagi….lagi dan seterusnya. Pattern yang dia dah jangka.

Anak autisme sukakan sesuatu yang sudah dijangka. Sebab itulah mereka rigid pada rutin. Apabila lain sedikit dari rutin, mulalah dia tantrum tak puas hati. Bagi dia…ini salah. Tak betul. 

Sikap rigid ini mengakibatkan anak autisme sukar untuk menerima input baru. 

Maka ada 3 ciri autisme yang saya telah huraikan lagi di atas iaitu:

– tidak minat bermain.

– main dengan cara menyusun atau memusing berulang kali.

– rigid dengan rutin. 

Saya bukanlah orang yang layak membuat penilaian autisme. Untuk penilaian, ibubapa perlu bawa anak berjumpa pakar psikiatri kanak-kanak. 

Saya hanyalah menjelaskan kepada anda, rasional di sebalik tingkah laku anak-anak autisme. 

Sebagai therapist, apabila kita memahami sikap anak autisme, semakin mudah untuk kita masuk ke dunianya dan mulakan intervansi.

Begitu juga dengan ibubapa. Tahu ciri saja tidak cukup. Anda kena tahu…kenapa dia begitu? Kenapa dia begini? Maka anda lebih mudah menjangka apa yang anda perlu buat untuk bantu dia atasi masalahnya. 

Komunikasi bergambar ialah salah satu cara untuk bantu anak autisme meluahkan kehendak dia. Mulakan dengan benda/makanan yang dia suka. 

Ramai ibubapa terus nak mula dengan set lengkap. Ini salah. Anda sebenarnya hanya perlu 1 gambar saja pada peringkat permulaan. 1 gambar mewakili benda yang dia suka. 

Jika anda ada 100 gambar siap velcro, tapi anda tidak mula dengan langkah yang betul, anda akhirnya akan gagal melatih anak guna kaedah bergambar ini. 

Untuk berlatih guna kaedah gambar, ibubapa mestilah belajar secara terus dengan speech therapist. Sukar untuk saya terangkan di sini kerana setiap anak tak sama penerimaannya. 
Bengkel Terapi Pertuturan untuk Ibubapa

Temerloh 19Mac

Shah Alam 25Mac

whatsapp saya 0133109703

Tak sempat nak ajar anak.

Posted in Uncategorized on Mac 9, 2017 by rubyatika

Ibubapa sibuk. Balik rumah pun sibuk…dengan smartphone masing-masing. Memanglah tak sempat nak ajar anak kalau macam tu. 

Anda hanya perlu 15minit saja sekurang-kurangnya….untuk ketepikan hp, tutup tv dan berhenti sekejap buat kerja rumah. 15 minit saja. 

Dalam tempoh 15 minit, bukanlah anda kena buat segala target “anggota badan” + “kata kerja” + “ajar ke tandas” + “buku cerita” + “perkataan awalan b”.

Jangan panik. Buat sikit-sikit saja. Yang penting anda fokus pada target yang sedikit tu. Ambil bahan mengajar anda. Fikirkan reward yang anda nak guna. 

Lepas siap 15 minit, pergilah sambung lipat baju. 

Anda juga boleh menggunakan aktiviti harian anda sebagai sesi mengajar anak. Contohnya sambil lipat baju, anda suruh anak asingkan baju adik dengan baju kakak. 

Kalau anda tengah masak cekodok, anda bagi anak peluang untuk kacau tepung tu. Atau berikan saja periuk, cawan plastik dan jug, biar dia main di lantai. Sambil masak, anda lihat dan komen apa yang dia sedang buat. 

Kalau lihat saja…taklah namanya ajar anak bercakap. Kena komen “sedapnya adik masak.” “tuang ayaq sikit” “tuang ayaq kopi ka, ayaq milo”. 

Apabila melatih anak bercakap, anda kena ramah tamah. Anda tidak perlu paksa anak ulang apa yang anda cakap. Tapi anda redha sajalah bercakap dengan anak yang belum reti bercakap tu. 

Kalau anak tiada masalah bercakap, tak payah ajar apa-apa pun, dia pandai sendiri bercakap secara fitrah. Tapi bagi anak yang lewat berbanding umur sebaya, ibubapa kena fikirkan sesuatu untuk bantu anak anda. 

Bantulah dia selagi umurnya masih dalam tahap kritikal penguasaan bahasa (0-5tahun). Ini ialah tempoh otak anak cepat proses untuk bercakap.

Tapi kalau dah lebih umur pun, ajarkan saja. Kena lipat ganda usaha. Kalau anak 3 tahun cukup 15 minit sesi mengajar, tapi anak 6 tahun mungkin perlu 45 minit sesi mengajar untuk sehari. 

Bengkel Terapi Pertuturan Untuk Ibu Bapa.

19 Mac 2017 di Temerloh

25 Mac 2017 di Shah Alam

Wsap saya 0133109703 untuk daftar.