Gadget dan ciri autisme?

Banyaknya kisah menakutkan tentang gadget iPad, tablet, smartphone di media sosial. Seram saya membacanya. 

Ada yang kata jadi butalah, masalah saraflah, jadi autisme lah….macam-macam lagi. Sejujurnya, saya belum jumpa. Harap-harap saya takkan jumpa. 

Yang saya biasa jumpa berkaitan dengan gadget abused ni ialah:

1) wujud ciri seakan-akan autisme.

2) masalah pembelajaran membaca, menulis, mengira. 

3) masalah anak tak bercakap.

Ha….ini saja 3 yang saya biasa jumpa, hampir setiap hari. Eh tak, saya kerja Khamis sampai Ahad saja. Hehe…

Apa yang dikatakan seakan-akan autisme?

– Kurang eye contact, kurang tumpuan. Tapi kalau diberi sesuatu yang dia suka, dia boleh memberi eye contact dengan bagus. Malah dia masih sukakan perhatian dari orang dewasa seperti kanak-kanak lain. Mereka tidak berada dalan dunia sendiri seperti kanak-kanak autisme.

– Tak pandai bermain dengan permainan lain selain gadget tersebut. Logiknya, sebab tak pernah didedahkan dengan mainan lain. Sepanjang hari menghadap gadget. Sekali kita tunjuk bola, dia tak hairan langsung. Dia rasa gadget dia lagi best.

Tapi kalau kita sorok gadget dia dan ajak juga bermain, dia boleh saja bermain selepas diulang-ulang beberapa kali. Berbeza dengan anak autisme yang langsung tak berminat dengan permainan dan perlukan latihan intensif untuk bermain.

– Tantrum. Mereka bijak manipulasi ibubapa. Golek atas lantai dan jerit sikit, ibubapa terus kecut perut dan bagi gadget serta merta. Ini biasa berlaku. Makin besar, makin ketegaq lah perangai tu. Tak kira autisme atau bukan, sama saja. Mereka belajar dari respon ibubapa mereka sendiri. 

– Kurang interaksi 2 hala. Bila kita suruh, dia buat tak tau saja. Bila kita tanya, dia tak jawab. Rasanya orang dewasa kat dalam rumah pun sama saja kalau tengah mengadap smartphone. 

Tapi beza dengan anak autisme, anak-anak gadget abused ni masih biasanya boleh faham arahan apabila gadget disorok. Bila kita tanya, mereka masih boleh jawab secara bukan verbal seperti angguk kepala atau geleng kepala. Kalau mereka nakkan perhatian, mereka boleh pula sep/tepuk ibu dan tunjuk dengan jari telunjuk pada apa yang dia nak tunjuk. 

Berbanding anak autisme yang selalunya tarik tangan dan letak pada benda yang dia nak. Anak autisme (jenis non verbal) juga amat sukar membuat respon mengangguk kepala tanda setuju. Biasanya terus rampas saja, lebih cepat dapat. 

Apa pula yang dikatakan masalah pembelajaran membaca, menulis, mengira?

Eh….anak-anak gadget ni cekap sangat berbahasa inggeris, setakat A-Z, 1-100 tu kacang saja. 

Tapi, berbalik pada persediaan ke sekolah. Di sekolah, pakai buku dan pensel. Dengan berpandukan buku saja, mereka cepat bosan. Buku tiada “good job” keluar bintang gemerlapan sambil bunyi orang tepuk tangan. 

Ini menyebabkan mereka kelihatan khayal di dalam kelas tadika. Melihat guru di hadapan, tapi tak dapat nak terima ilmu yang disampaikan. Amat mudah terganggu tumpuannya dengan segala dekorasi meriah dalam kelas tadika tersebut. 

Sebab tulah pusat intervansi saya tiada sebarang dekorasi dinding. Kosong saja. Tiada yang bergantungan. Tiada yang berkelip-kelip. Kosong. Supaya murid tumpu pada cikgu yang mengajar 100%. 

Bab menulis pula, memang menjadi sukar sebab tak dibiasakan memegang pensel. Dah biasa touch screen saja. Tak pernah main play dough, sentiasa makan bersuap, maka jari-jarinya jadi kaku untuk memegang pensel. Nak pegang dengan 3 jari tu, seksa sangat rupanya.

Mereka boleh bermain gadget berjam-jam, tapi duduk selak buku baru 10 minit, dah macam cacing kepanasan. Duduk tak diam, mata meliar, cepat nak selak sampai habis. 

Sebenarnya gadget itu tak salah. Ada banyak apps pendidikan yang bagus. 

Yang jadi masalah bila ibubapa tak boleh kawal. Anak boleh tengok youtube la, anak main terlalu lama la, kalah bila tengok anak jadi tantrum la, ibu nak masak dengan tenang la, ayah nak main pokemon go dengan aman la….Itu yang masalah. 

Maka, kalau tak mampu berdepan dengan masalah, anda kena buat keputusan drastik.

Macam mana nak hentikan gadget?
– Sorok di pejabat. Jangan bawa balik rumah. 

– Tutup saja Astro. Semua ahli keluarga kena berkorban dalam bab ni. 

– Gantikan dengan mainan. Ajar anak kemas mainan juga. 

– Bawa anak pergi main outdoor. Main bubbles ke, main layang-layang ke, pergi playground ke….

– Hantar ke tadika bagi yang belum hantar.

– Ajak anak jiran yang hampir sebaya datang teman anak bermain di rumah. 2,3 orang cukuplah. 

– Buang persepsi dalam minda anda sendiri bahawa iPad ni kononnya bagus untuk IQ la, bagus untuk bahasa inggeris la, bagus untuk bagi anak behave la…..buang persepsi tu masuk tong sampah.

– Tanamkan keyakinan bahawa anda sedang berusaha untuk masa depan anak anda. Sedar bahawa anda bersedia berdepan dengan anak, walau apapun yang berlaku.

Yang dah berlalu, tak boleh diulang kembali. Semoga ibubapa yang dah terlanjur masih sempat berusaha. 

Kalau ada mulut yang berkata “anak aku main iPad ni hebat, IQ cepat pandai” ucap sajalah tahniah kat dia. 

Tak kena kat anak dia. Kita cuma taknak terkena kat anak kita saja. 

Bengkel Terapi Pertuturan untuk Ibubapa di JB pada 27 Ogos 2016.

SMS @ Whatsapp Pn Ruby 0133109703

Ruby Speech Therapy.

Tinggalkan komen