Anak bergaduh? Biasalah tu…

Antara sebab biasa apabila anak kecil bergaduh ialah:
– berebut barang
– salah seorang kuat mengusik
– salah seorang kuat cemburu

image

*meratah kuih raya.

Sebagai ibu kepada 2 anak lelaki, saya juga mengalami isu yang sama. Apabila anak-anak bergaduh, selalunya akan berlaku:
– tolak menolak / tarik menarik
– barang yang dibaling
– salah seorang berteriak kuat
– cakar @ tumbuk.

Saya tidak pasti pula bagaimana reaksi anak perempuan. Masalah begini dihadapi oleh semua yang pernah bergelar ibu.

Maka di sini saya nak kongsi bagaimana nak hadapi situasi anak-anak bergaduh.

1) Anda mestilah boleh mengawal diri sendiri. Jangan sehingga anda sendiri termasuk dalam gelanggang pergaduhan. Contohnya anda pula yang mencubit anak, atau anda yang menjerit atau anda yang hempas barang. Ibu bapa adalah orang dewasa, berlagaklah seperti orang dewasa.

Anda mesti ingat bahawa anak-anak ialah cermin terbaik. Mereka meniru setiap perbuatan anda. Jika anda menjerit, mungkin dia diam pada waktu itu (sebab takut dengar suara raksasa anda) tapi di kemudian hari dia akan jerit kepada adik/abangnya seperti apa yang dia dengar.

2) Latih anak untuk tolak ansur. Tolak ansur memerlukan komunikasi yang bagus. Jika abang inginkan barang dipegang adik, abang tak boleh merampas. Dia ada 3 cara untuk dapatkan barang itu:

a) dia kena minta izin “Boleh tak bagi abang Irham pinjam mainan tu?”

b) dia kena pujuk “Boleh la….abang Irham pinjam kejaaaap je, pastu abang Irham pulang balik kat Ilman.”

c) dia kena buat tawaran “abang Irham ada mainan ni boleh terbang….best, Ilman nak yang ni tak? Kalau Ilman nak, bagi abang Irham mainan Ilman tu dulu.”

Lihat….semuanya memerlukan kebolehan bercakap yang bagus. Saya melatih anak saya untuk bercakap sedemikian. Ia memakan masa. Dari usia 3 tahun lagi saya sudah latih. Jadi apabila masuk 4 tahun, dia sudah lancar.

Mereka masih bergaduh, tapi tahap kritikal itu dapat diatasi sebaik saja rundingan dilakukan.

3) Latih anak untuk mengikut GILIRAN. Masing-masing mesti patuh pada tempoh giliran masing-masing. Sebagai ibu bapa, anda adalah penguatkuasa undang-undang giliran. Jangan pula anda melebihkan anak yang manja.

Jika habis gilirannya, dia mesti serahkan pada pihak satu lagi. Jika dia tak nak, anda sebagai penguatkuasa, mestilah ambil saja barang itu dan beri pada seorang lagi. Dia akan nangis, berguling, jerit atau apa saja. Apabila dia faham giliran, dia takkan nangis dah. Dia tahu, nanti gilirannya akan sampai lagi.

4) Seterusnya ialah ungakapan “sayang”. Saya selalu ajar anak saya untuk sebutkan dia sayang adiknya atau abangnya. Mereka bukan sentiasa bergaduh. Ada masa mereka boleh bekerjasama. Dalam situasi baik, kita tanya, “abang Irham sayang tak kat adik Ilman tu?” biasanya dia akan jawab “Sayang, sebab adik Ilman comel sangat.”
Ungkapan “Kasihan” juga penting. Jika adiknya jatuh atau cedera, maka saya akan latih abang untuk berkata, “Kesian kat adik Ilman.”
Ungkapan-ungkapan sebeginilah yang menguatkan hubungan mereka adik beradik. Si adik juga mestilah dengar apa yang disebut oleh si abang, supaya dia tahu bahawa betapa abangnya itu sayangkan dirinya.

5) Kemahiran mengawal tantrum anak-anak. Semasa aksi bergaduh, mereka mungkin ada baling barang, berguling atau menjerit. Jika mereka berdekatan, cepat-cepat leraikan mereka. Pastikan mereka dalam jarak selamat.

Mereka akan menunjukkan protes dengan pelbagai cara. Anak mungkin sengaja melakukan perbuatan yang dia tahu ibunya tak suka.

Jika ibu bertindak pada perbuatan protes anak anda yang sengaja tersebut, maka dia berjaya. Dia berjaya mendapat perhatian anda. Maka ibu bapa mesti bijak menilai had protes. Jika anda rasa “ini dah melampau” maka anda kena hadapi dia dan bertegas. Jika dia baling, suruh dia kutip. Jika dia sepahkan semua, suruh dia kemas balik SEMUA.

Tapi jika anda kuat sabar, anda sewajarnya biarkan saja dia protes. Buat tak tahu saja dan jangan lihat pun apa dia buat. Nanti bila dia letih, dia berhenti sendiri. Sebenarnya ini lebih berkesan kerana lain kali dia tahu dah, perbuatan tantrum hanya meletihkan dirinya sendiri.

Tiada ibu yang sempurna. Kita hanya boleh berusaha untuk menjadi ibu yang lebih baik. Anak-anak saya masih bergaduh. Tapi saya tetap teruskan usaha untuk mengurangkan kekerapan pergaduhan dan tahap kritikal pergaduhan.

Ibu dan suami saya berpesan, supaya saya lebih Islamik dalam perkhidmatan.

Ok, saya tambah satu lagi.

Sebelum tidur, selepas lampu ditutup, saya akan bercerita kepada anak. Tajuk cerita ialah “Abang Irham dan Adik Ilman”.
Ceritanya amat mudah, tapi mereka tak pernah bosan dengar walaupun diulang berpuluh kali.
Ada banyak versi. Kadang-kadang kisah semasa mereka dalam perut, kisah semasa mereka baru lahir. Tapi saya menetapkan target cerita.
Contohnya “Abang Irham, anak soleh yang selalu rajin ikut umi abi solat. Abang Irham sayang sangat kat adik Ilman. Kalau adik Ilman jatuh, abang Irham cepat-cepat datang tolong.”
“Adik Ilman, anak soleh yang selalu sayang abang Irham. Sebab abang Irham sayang sangat kat adik Ilman.
Adik Ilman selalu baca zikir subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar”
Ceritanya terlalu panjang hingga kadang-kala saya sendiri tertidur.

Saya yakin ramai ibu bapa sudah sedia maklum tentang bacaan-bacaan Quran yang dibaca kepada anak semasa mereka telah separa tidur.

Jadilah ibu. Jangan jadi singa.
Sekian, terima kasih.

Ruby Speech Therapy
sms @ whatsapp 0133109703

Bengkel Terapi Pertuturan untuk Ibubapa di Seremban
Tarikh : 21 May 2016, Sabtu.

9 Respons to “Anak bergaduh? Biasalah tu…”

  1. fatimah sham Says:

    Terima kasih..banyaknya info sy dapat hari ni..share lg ye..

  2. yati azmir Says:

    izinkan sy share ye..terima kasih!

  3. Assalamualaikum,
    terima kasih atas perkongsian yang menarik ini.

  4. sangat sangat bermanfaat..Ini lah tips2 yg saya cari selama ni..
    thank you very much….izinkan saya share.

  5. Camtu la ank2 bl kt umah. ..

  6. terima kasih..saya memg mnghadapi situasi cmni..inshaallah..sy cuba tips spt puan ni…

  7. Terima kasih ya … belajar menjadi ibu dgn cara yg betul adalah perkara yg paling susah klu nak dibandingkan belajar walau ke tahap master or phD sekalipun 😉

  8. Pn ruby anak saya masih tak fasih bercakap dan kalo saya cakap baru dia ikut dia baru jalani pembedahan telinga dan saya rasa dia baru dengar jelas tp kerisauan untuk dia membuat ayat memang tinggi jugak sebab kalo ikut kan umur dia sekarang bln 12 cukup 4 tahun anak saya seakan umur 2 tahun lebih…..kadang saya paham kadang tak paham tapi dia boleh mintak apa dia nak nak air, nak minum, nak makan, nak nasi, main bola, banyak 2 patah……saya harap segala tunjuk ajar pn saya tak terlepas masa kritikal ank saya………minggu depan saya akan hadiri seminar untuk rancangan khas…..insyalah….tp pn ruby….

  9. Terima kasih.. sangat2 membantu bagi saya yang juga ada dua orang hero nih..

Tinggalkan komen